Tuesday, December 30, 2008

Kembali ke sekolah

Kesibukan menjelang persekolahan tahun 2009 akan bermula tak lama lagi. Sebagai guru, beberapa hari terakhir percutian ini memang sedikit mengundang kesibukan. Menyediakan kelengkapan anak-anak ke sekolah adalah satu kewajipan. Menyediakan diri secara mental dan fizikal untuk berhadapan dengan guru dan pekerja di bawah tanggungjawab, berhadapan dengan kerenah anak berkeperluan khas bukanlah sesenang yang selalu orang fikirkan....namun segalanya adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Mudah-mudahan tahun 2009 ini akan bersinar dengan terang!

Baru menghadapi pemergian ayahanda pada 30.11.2008 yang baru berlalu sedikit sebanyak memberi kesan yang mendalam di jiwa ini. Fikiran masih berkecamuk, tidur sering bersamanya dalam mimpi...sebenarnya banyak perkara yang tak terlafaz bermain di hati .....berbaur- baur tak menentu.Ada dendam dan rindu...Ayahanda....andainya masih ada kesempatan mengulangi semula sejarah kelahiran ku, ku ingin memulakan sedari awal mengatur bahagia keluarga kita. Meluahkan bermakna mengungkit...mendiamkannya menjadi dendam..banyak gelora yang terpaksa ditempuh dalam hidup ini.Tapi yang amat pasti...aku adalah anakmu yang sangat tabah dan pasti dapat menerima segala takdir !

Sunday, December 28, 2008

Ayahanda dalam kenangan

30 Nov 2008 Senja itu hati berdegup kencang...bagai namaku disebut orang...deringan telefon dari adinda Adda di Pekan menamatkan debaran di hati.Ayahanda gering kuat di Hospital Sultanah Zahirah, Terengganu. Seketika lagi ku sambut deringan telefon dari Bonda Tiri, memaklumkan ayahanda baru saja kembali ke rahmatullah...6.50 petang....

Segera aku mengarahkan anak-anak berkemas baju keperluan masing masing. Selepas solat maghrib, kami mula bertolak ke Kuala Terengganu. Malam itu aku langsung tak terlelap, menemani suami memandu. Tiba saja di Kemaman, ribut dan hujan turun dengan begitu lebat sekali. Alhamdulillah jam 3.30 pagi kami tiba dengan selamat di destinasi yang di tuju.

Alfatihah sentiasa di bibir dan di hatiku sebagai hadiah dari seorang anak kepada ayahanda tercinta....Bonda sedang megerjakan haji di Mekah, jadi jenazah ayahanda akan diuruskan di rumah Bonda Tiri....Segalanya ketentuan Yang Maha Esa...Setiap episod hidup bersama ayahanda berulang- ulang di memori ingatan. Kesedihan, kedukaan, keperitan dan kebahagiaan yang pernah terkecap bersama ayahanda jelas di ingatan.....begitupun, ketahuilah wahai ayahanda tercinta....kau tetap satu satunya ayahandaku di dunia ini.....Alfatihah untukmu!